Laporan Cadangan Pemajuan (LCP)
LCP adalah dokumen utama yang disertakan dalam permohonan kebenaran merancang sebagaimana diperuntukkan dalam subseksyen 21(1) Akta 172. Penyediaan LCP adalah
diwajibkan bagi pembangunan yang melebihi lima (5) ekar di negeri Pahang. Ianya hendaklah mengandungi perkara:-
a) konsep dan justifikasi pemajuan;
b) peta lokasi dan pelan tapak;
c) butir-butir hak milik tanah dan sekatan, jika ada;
(i) perihal tanah termasuk alam sekitar dari segi fizikal, topografi, landskap, geologi, kontur, saliran, air dan tadahan air dan bentuk semula jadi di atasnya;
(ii) suatu tinjauan pokok dan semua jenis tumbuh-tumbuhan; dan
(iii) butir-butir bangunan, yang berkemungkinan disentuh oleh pemajuan itu;
d) analisis guna tanah dan kesannya terhadap tanah yang bersempadan;
e) pelan susun atur yang mengandungi butir-butir yang ditentukan dalam seksyen 21B; dan
f) apa-apa perkara lain yang ditetapkan oleh pihak berkuasa perancang tempatan. Subseksyen 21A(1A) Akta 172 memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk menentukan sama ada suatu analisis implikasi sosial pemajuan perlu dimasukkan ke dalam LCP.
Kategori Laporan Cadangan Pemajuan (LCP)
Selaras dengan tafsiran pemajuan di bawah Akta 172, LCP diperincikan kepada 7 kategori iaitu:
LCP 1: Kebenaran Merancang Kerja Bangunan
LCP 2: Kebenaran Merancang Kerja Kejuruteraan
LCP 3: Kebenaran Merancang Kerja Perlombongan
LCP 4: Kebenaran Merancang Kerja Perindustrian
LCP 5: Kebenaran Merancang Perubahan Material Penggunaan Tanah
LCP 6: Kebenaran Merancang Perubahan Material Penggunaan Bangunan
LCP 7: Kebenaran Merancang Susunan Penggunaan Tanah Untuk Tujuan MemecahSempadan Atau Mencantumkan Tanah