Bantuan Kebolehcapaian

  • Skala paparan 100%
  • Size teks 100%
  • Jarak barisan 100%
  • Jarak tulisan 100%

Coffee Table Book

Senarai 'Coffee Table Book' Terbitan PLANMalaysia Pahang

Kuala Lipis Warisan Geopark
Daerah Lipis telah diperakui sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-11 pada 9 November 2023 sehingga 8 November 2027 menerusi Jawatankuasa Geopark Kebangsaan di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Satu Majlis Pemasyhuran yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke 16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 18 Januari 2024 bertempat di Tree Top Walk Taman Negeri, Sg Relau, Merapoh.
Lipis Geopark berkeluasan 5,408 km persegi yang merupakan geopark terbesar di Malaysia dan berpenduduk seramai 114,000 orang. Terdapat 52 tapak warisan yang terbahagi kepada 3 elemen penting bagi geopark iaitu tapak warisan Geologi (28 tapak), tapak warisan biologi (6 tapak) dan tapak warisan budaya (18 tapak).
Lipis Geopark mempamerkan warisan bumi luar biasa. Di sini wujud bukti beberapa peristiwa alam yang penting, sesuai dirakam dan boleh difahami oleh komuniti masyarakat. Antaranya, bukti pembentukan serpihan dua benua yang membentuk Semenanjung Tanah Melayu, peristiwa kepupusan besar-besaran pada sempadan zaman Peri dan Trias (250 juta tahun lampau) dan kawasan penerimaan bijih emas yang menjadi pemula sejarah penempatan Kuala Lipis dan Merapoh. Keindahan bukti sains dan budaya yang menjadi daya tarikan pelancong utama ke wilayah Lipis Geopark.
Kuala Lipis Bandar Warisan
Tersorok di bahagian hutan simpan dalam Daerah Lipis, sebuah bandar kecil yang permai iaitu Kuala Lipis. Sungguhpun begitu, nilai-nilai kepentingannya sebagai bekas Ibu Negeri dan Pusat Pentadbiran Pahang suatu masa dahulu masih terdapat pada struktur dan senibina kolonial. Padat dengan sejarah, tidak hairan Kuala Lipis terkenal sebagai Bandar Warisan Pahang. Penerbitan ini bertujuan mempromosikan keunikan perancangan dan reka bentuk bandar Kuala Lipis kepada umum.

Daerah Kuala Lipis bersempadan dengan Daerah Jerantut (Timur) dan Temerloh (Selatan). Bandar Kuala Lipis berkeluasan 166 hektar meliputi Bandar lama, Bukit Bius dan Bukit Residen. Kedudukannya terletak 220 km dari Kuantan dan hanya 164 km dari Kuala Lumpur.
Jerantut Gerbang Taman Negara
Setiap nama mempunyai keunikan asal usul yang tersendiri. Asal usul nama Jerantut telah disebut dan digunapakai semenjak zaman dahulu lagi iaitu pada masa sebelum pemerintahan Sultan Ahmad (Wan Ahmad) iaitu Sultan Pahang yang pertama. Asal usul nama Jerantut mempunyai dua variasi berbeza sepertimana yang diceritakan oleh penduduk tempatan.

Berdasarkan cerita orang tua-tua bahawa asal usul perkataan "Jerantut" adalah berasal dari perkataan "Jeram" dan "Tut" yang diambil daripada nama orang "Awang Tut" yang sering mengail di kawasan jeram di tengah-tengah Sungai Pahang. Sebelum timbulnya perkataan "Jerantut" Pekan ini dipanggil "Simpang Empat" iaitu satu tempat dimana Jalan Keretapi dari Gemas ke Kota Baharu bersilang dengan jalanraya dari Kuala Lipis ke Kuantan.

Mulai tahun 1914 nama "Simpang 4" ditukar kepada "Jerantut" . Mengisahkan pemburu dimana asal nama Jerantut dikaitkan juga dengan kisah cara orang kampung mendapatkan hasil buruan dengan cara menghalau buruan mereka ke Jeram dan apabila mereka sampai ke Jeram mereka akan bertanya sesama mereka di manakah buruan itu. Mereka akan menjawab ke “Jeram tu”…..”Jeram tu” lama kelamaan kekal lah namanya hingga ke hari ini Jerantut.

 

Pekan Bandar Di Raja
Pekan merupakan kesinambungan kepada kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Pekan dikatakan telah wujud sejak abad ke-17. Bermula daripada tahun 1889 sehingga tahun 1898, Pekan telah diangkat sebagai ibu negeri Pahang. Bandar Pekan terkenal sebagai Bandar DiRaja kerana merupakan tempat bersemayam Sultan dan kerabat DiRaja Pahang. Bandar Pekan terkenal sebagai bandar yang aman, tenteram serta sentiasa menampilkan ciri-ciri bandar DiRaja. Reka bentuk bangunan-bangunan lama turut mempunyai keunikan tersendiri, terutama sekali rekaan bentuk bangunan istana yang sangat ikonik.
Daerah Pekan terletak di bahagian timur Negeri Pahang , bersempadan dengan Daerah Kuantan di utara, Daerah Rompin di selatan,dan Daerah Maran di sebelah barat. Keluasan Daerah Pekan ialah 380,500 hektar (3,805 km persegi), daerah keempat terbesar di Negeri Pahang yang mengandungi 11 mukim. Bandar Pekan berada di sepanjang tebing Sungai Pahang, sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia iaitu sepanjang 477.97 km (297 batu).
Temerloh Titik Tengah Semenanjung Malaysia
Daerah Temerloh yang berkembang pesat pada hari ini mempunyai latar belakang sejarah yang menarik. Bandar Temerloh yang ada sekarang berkembang dari penempatan sebuah kuala sungai di Sungai Pahang yang bernama Kuala Semantan. Nama lama bagi Temerloh ialah Kuala Semantan. Justeru itu adalah perlu untuk diketahui sejarah asal usul Kuala Semantan kerana dari sinilah lahirnya Bandar Temerloh. Kuala Semantan pada asalnya merupakan sebuah kampung tua. Letaknya ialah di tanjung sebelah kanan kuala Sungai Semantan yang bertentangan dengan Kampung Bangau Parit.

Bersesuaian dengan perkembangan yang berlaku di Kuala Semantan, maka banyak kawasan-kawasan baru telah dibina untuk dijadikan kawasan penempatan. Nama Kuala Semantan dirasakan tidak bersesuaian dengan perkembangan kawasan baru ini kerana perkataan “kuala” itu hanya meliputi kawasan sekitar pertemuan antara pintu Sungai Semantan dengan Sungai Pahang. Oleh kerana itu nama Temerloh telah diambil bagi menamakan kawasan yang baru berkembang itu.
Bentong Bandar Eko-Pelancongan
 
Bentong adalah sebuah bandar dan salah sebuah daerah di negeri Pahang. Keluasan daerah ini ialah 1831 kilometer persegi. Ia terletak 80 km dari timur laut Kuala Lumpur dan bertentangan dengan Banjaran Titiwangsa. Daerah ini bersempadan dengan Negeri Selangor di sebelah barat dan Negeri Sembilan di sebelah selatan.

Daerah Bentong terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Bentong dan terbahagi kepada 3 mukim iaitu Mukim Bentong, Mukim Sabai dan Mukim Pelangai. Selain dari Bandar Bentong, terdapat beberapa pekan lain yang menjadi tumpuan penduduk seperti di Karak, Bukit Tinggi, Telemong dan Simpang Pelangai.

Bandar Bentong berperanan sebagai pusat pentadbiran dan perindustrian bagi daerah Bentong. Di Bentong terdapat banyak industri ringan dan sederhana seperti kilang kayu-kayu, kilang pembuatan makanan dan kilang pengumpulan komponen elektrik. Peningkatan kepada pembangunan di bandar telah menyedarkan Majlis Perbandaran Bentong supaya bersedia dengan keperluan dan cabaran-cabaran masa akan datang dalam usaha menjadikan Bandar Bentong sebuah bandar yang maju, makmur dan sejahtera.

Daerah Bera merupakan salah satu daerah yang unik di negeri Pahang, Malaysia. Secara rasmi diwartakan sebagai daerah ke-11 di Pahang pada 1 Januari 1996, Bera telah mengalami perkembangan pesat dalam pelbagai aspek, termasuk ekonomi, sosial dan pelancongan. Dengan keluasan 1,970 kilometer persegi, daerah ini menjadi pusat pertumbuhan yang menggabungkan kemajuan dan kelestarian alam sekitar.

Daerah Maran merupakan daerah ke-10 dari 11 daerah yang ada di Negeri Pahang. Pengisytiharan pewujudan Daerah Maran telah di buat melalui Watikah Pengisytiharan Daerah Maran yang telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Pahang Jld. 34 Bil. 14 pada 13 Mei 1981. Sebelum pengisytiharan, Daerah Maran terletak sebahagian dari Daerah Temerloh dan sebahagian lagi Daerah Pekan.

Raub terkenal sejak dahulu sebagai kawasan yang kaya dengan emas dan timah. Pada awalnya, ia merupakan sebahagian daripada jajahan Lipis. Nama ''Raub'' dikatakan berasal daripada aktiviti meraub emas di tebing sungai, ketika emas boleh dikutip hanya dengan tangan kosong. Antara lokasi yang terkenal dengan penemuan emas ialah kawasan padang di kaki Bukit Rumah Rehat Raub.

PLANMalaysia Pahang
© Hakcipta Terpelihara PLANMalaysia Pahang.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini.
Kemaskini Terakhir : 14 Januari 2026 • Jumlah Pelawat : 52,644
Kembali ke Atas
052644